KUCHING: Cadangan menaikkan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak yang menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri disifatkan wajar untuk dipertimbangkan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian brkata, ini kerana elaun semasa berjumlah RM50 sehari itu tidak berubah sejak 42 tahun lalu.

“Ini sebenarnya menunjukkan wakil rakyat kita ikhlas memberikan perkhidmatan mereka dengan kadar elaun (RM50) ini.

"Seperti apa yang disebut oleh YB Daro Safiee Ahmad, ianya tidak pernah berubah sejak sekian lama, hanya RM50 dari dulu lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas meninjau proses vaknisasi COVID-19 bagi dos penggalak kedua di Klinik Kesihatan Batu Kawa pada Jumaat.

Terdahulu Safiee Ahmad semasa penggulungan bahas usul penghargaan Tuan Yang Terutama di DUN Sarawak telah meminta elaun tersebut dikaji semula.

“Bagi saya kita sering terlepas pandang hal ini. Misalnya kaunselor hanya dibayar RM100 setiap kali bermesyuarat. Jadi kita lupa mereka yang berkhidmat ini tidak melihat keuntungan.

“Tetapi dari sudut lain kita perlu sedar bahawa kos sara hidup sekarang tinggi dan semuanya memerlukan wang. Jadi memang wajarlah untuk kita tambahkan elaun mengikut peredaran masa,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg secara prinsip telah bersetuju untuk menaikkan elaun tersebut namun tidak menyatakan nilai yang ditambah.